SEREMBAN – Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun akan membuat pengumuman Ahad ini sama ada akan bertanding di peringkat pusat atau cabang, pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung September depan.
Beliau yang juga menteri besar berkata beliau akan turut mengumumkan senarai calon negeri yang akan bertanding.
“Saya sekarang adalah Pengerusi PKR negeri, sama ada saya akan pertahankan jawatan ini, akan umumkan kelak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini hari ini.
Aminuddin juga meminta calon yang ingin bertanding agar mengemukakan borang pencalonan sebelum Ahad ini (29 Julai).
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata pelantikan anggota baharu Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini telah selesai dan watikah pelantikan akan diserahkan Selasa depan di Wisma Negeri. – BERNAMA