KOTABELUD – Seorang lelaki nyaris maut selepas dipercayai terkena tembakan dari senjata api buatan sendiri jenis jenis bakakuk di trek laluan hutan di Kampung Rantai Rosok, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Eliksius Kuintin, 26, dikatakan duduk berehat selepas melastik burung punai di kawasan berkenaan sendirian.
Bagaimanapun, ketika menggunakan telefon bimbit miliknya, tiba-tiba dia terdengar letupan sebelum rebah akibat terkena serpihan peluru penabur dipercayai tertembak oleh individu tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata mangsa hanya tersedar pada jam 11.29 malam hari sama di lokasi kejadian sebelum menghubungi bapa saudaranya untuk bantuan.
Katanya, 30 minit kemudian, bapa saudara mangsa tiba bersama tiga penduduk lain untuk membawa pulang mangsa ke rumah dengan motosikal lalu dihantar ke hospital Kota Belud untuk menerima rawatan.
“Keesokan harinya (semalam) mangsa dipindahkan ke hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua serpihan peluru penabur terkena pada pipi kiri serta beberapa lagi pada lutut kanan, namun dia kini dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Mohd Zaidi berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan individu yang melepaskan tembakan dan kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960. – BH Online