SEORANG pakar gua Britain yang bantu usaha menyelamat 12 ‘budak gua’ di Thailand berkata, dia mungkin ambil tindakan undang-undang terhadap Elon Musk selepas usahawan itu menggelarnya ‘pedofilia’ dalam ulasan yang menyaksikan saham Tesla merudum.
Ketua Eksekutif Tesla itu melancarkan serangan luar biasa terhadap Vern Unsworth tanpa memberi sebarang justifikasi atau penjelasan selepas pakar gua itu menyelar tawaran Musk menyediakan kapal selam mini untuk mengeluarkan pasukan bola sepak itu dari gua Tham Luang sebagai ‘aksi PR’.
Pasukan ‘Wild Boars’ itu diselamatkan minggu lalu oleh sekumpulan pakar penyelam melalui laluan sempit terowong banjir.
Unsworth yang menyumbang pengetahuan pemetaan gua terhadap usaha menyelamat itu berkata, prototaip milik Musk ada kemungkinan ‘tidak berfungsi’.
Musk memberi maklum balas Ahad lalu dalam siri tweet luar biasa merujuk kepada Unsworth tanpa menggunakan namanya, merujuknya sebagai ‘lelaki pedofilia.’
Usahawan itu mempertikaikan dakwaan pakar gua berkenaan, menulis tweet menerusi akaun rasminya kepada lebih 22 juta pengikut: “Saya bertaruh, tanda dolar sememangnya benar.”
Musk kemudian memadam tweet dan tidak membalas komen menerusi Tesla.
Unsworth memaklumkan AFP semalam, dia tidak meneliti tweet itu sepenuhnya dan hanya mendengar mengenainya.
Namun apabila ditanya jika dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Musk berhubung tuduhan itu, Unsworth berkata: “Ia sedang saya fikirkan.”
Pakar gua itu berkata, dia akan membuat keputusan apabila terbang ke United Kingdom minggu ini namun menambah, episod dengan Musk ‘belum selesai.’ – AFP/myMetro Online