HARGA rumah dijangka konon mampu turun apabila kerajaan melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula September depan, kata Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.
Bagaimanapun, pemimpin PAN Terengganu yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak dapat menyatakan secara terperinci jumlah penurunan itu kerana cukai berkenaan belum dilaksanakan.
Menurutnya, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan kerajaan terdahulu konon lebih banyak sumbang kenaikan harga rumah kerana dikenakan kepada semua komponen bahan pembinaan seperti simen, besi dan kayu.
“Dari segi teori, kos rumah akan turun dengan ada SST, tapi susah kita nak jangka sebanyak mana kesannya kerana ia masih di peringkat awal. Kena tunggu dan lihat selepas ia dilaksanakan baru nampak kesan lebih praktikal.
“Sudah tentu kos GST lebih tinggi, apa yang boleh saya katakan GST lebih banyak menyumbang kepada kenaikan harga berbanding SST,” katanya secara umum tanpa ulas lanjut kesahihan dakwaan teori penurunan harga itu.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu yang tewas pada Pilihan Raya Umum lalu berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat dihadiri lebih 500 tetamu di rumahnya, malam tadi.
Mengulas isu harga rumah tinggi di Terengganu berbanding pendapatan rakyat, ujarnya, masalah perumahan di negeri ini agak serius dan beliau akan berusaha bantu rakyat menyediakan rumah berdasarkan kemampuan mereka.
Dengan peluang kerja terhad dan gaji rendah, penduduk Terengganu jelas Raja Kamarul Bahrin, dilihat hanya mampu membeli rumah mampu milik bernilai antara RM50,000 hingga RM70,000.
“Usaha merendahkan kos rumah bergantung kepada dua faktor iaitu kos pembinaan dan harga tanah. Kita hanya boleh kuasai kos pembinaan, tanah milik kerajaan negeri dan jika kerajaan negeri boleh beri tanah dengan harga rendah dan berpatutan, insya-Allah target kita sediakan rumah mampu milik akan tercapai.
“Kalau dapat tanah dengan nilai harga pasaran, memang susah kita nak tunaikan hasrat rakyat. Di Terengganu kalau harga rumah sekitar RM70,000 hingga RM80,000 itu di luar kemampuan kerana peluang kerja dan gaji di sini terhad,” katanya. – Sinar Online