KUALA LUMPUR – Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia mengesahkan menu daging Wagyu yang bernilai RM2,000 sekilogram disediakan di meja makan utama untuk lapan tetamu semasa jamuan tengah hari di Parlimen semalam.
Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan media berkata, menu daging Wagyu itu adalah menu tambahan yang disediakan oleh pihak katerer bagi meraikan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
“Parlimen Malaysia tidak pernah berbelanja mewah untuk tujuan tersebut Perbelanjaan adalah mengikut tatacara kewangan yang ditetapkan,” kata kenyataan itu hari ini.
BACA: Parlimen Hidang Menu Daging RM2,000 Sekilo?
Media semalam melaporkan sekeping gambar menu sajian mewah berasaskan daging lembu wagyu dipercayai dihidangkan semasa jamuan tengah hari di Parlimen menjadi tular di Twitter.
Hidangan tersebut menjadi perhatian gara-gara harganya yang dikatakan mencecah antara RM1,500 hingga RM2,000 sekilogram bagi gred B.
Selain daging wagyu, hidangan lain termasuk udang harimau goreng mentega, rusuk kambing goreng berempah, dada ayam kuah percik, tauhu Jepun kukus dengan broccoli dan nasi putih.
Seorang pengguna Twitter @TheDukeofKL tampil mempersoalkan sajian mewah itu yang dihidangkan di saat kerajaan Pakatan Harapan mendakwa negara berdepan bebanan hutang mencecah RM1 trilion.
Sebuah portal berita dalam talian mendapat pengesahan mengenai kesahihan gambar menu hidangan tersebut daripada sumber kerajaan.
Sumber itu dipetik berkata, hidangan daging wagyu berkenaan hanya disajikan untuk tetamu di meja utama sahaja membabitkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Selain PM dan TPM, hidangan tersebut turut disajikan kepada Speaker Dewan Rakyat, Speaker Dewan Negara, dua timbalan Speaker dan Ketua Hakim Negara yang duduk semeja. – MYNEWSHUB.TV