KUANTAN – PAS Pahang hari ini membuat laporan polis bagi menuntut siasatan dilakukan ke atas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy berhubung dakwaan menyokong pemberontak Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.
Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata siasatan perlu dilakukan bagi mengurangkan kegusaran masyarakat selain isu berkenaan boleh menggugat kestabilan politik dan keamanan di negara ini.
“Kami bimbang dengan kenyataan yang mengaitkan beliau dengan LTTE kerana boleh mendatangkan keadaan tidak tenang dan huru hara serta keresahan antara kaum di Malaysia.
“Kami mahu supaya hasil siasatan diumumkan kepada rakyat supaya kami tahu kedudukan sebenar dan jika dakwaan benar atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.
Turut hadir ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu. ADUN Panching Tarmizi Yahya dan kira-kira 20 penyokong parti tersebut. – BERNAMA