SINGAPURA – Sepasang kembar dihukum penjara lima hari dan 10 hari selepas memutuskan untuk ‘terjah’ sebuah majlis makan perkahwinan dan mencuri beg perkahwinan pengantin.
Pihak pendakwa berkata, Tiffany dan Tiziana Kang, 30, sepatutnya dihukum penjara tujuh tahun dan didenda tetapi mahkamah mengenakan hukuman lebih ringan kerana mereka menghidap masalah psikiatri sejak berusia 13 tahun, tanpa mendedahkan apa dihidapi mereka.
Pasangan kembar itu menyertai sambutan perkahwinan di sebuah restoran pada 19 November lalu sekalipun tidak diundang dan tidak mengenali sesiapa pun di situ, lapor akhbar The New Paper, di sini.
Selepas selesai makan malam, mereka menyertai tetamu lain dengan berbaris untuk mengucapkan tahniah kepada pengantin baru berkenaan.
Ketika berada dekat seorang pengapit pengantin, seorang daripada kembar menipu apabila memberitahunya bahawa dia diminta mengambil satu beg berwarna merah jambu milik pengantin perempuan.
Beg itu mengandungi beberapa barangan seperti cawan kopi, pen dan foto bernilai S$150 (RM446).
Pengantin perempuan tidak lama selepas itu menyedari beg itu hilang dan kemudian mendapat tahu kembar terbabit sebenarnya tetamu tidak diundang.
Dia kemudian mencari dan menemui kembar terbabit dekat perhentian teksi dan mendesak penjelasan dan penyerahan beg itu.
Berikutan itu, Tiziana dihukum penjara lima hari, manakala Tiffany 10 hari.
Turut didedahkan kepada mahkamah yang mengenakan hukuman itu kelmarin ialah kembar terbabit sebelum itu mencuri tiga beg tangan dan satu dompet bernilai S$640 (RM1,904) dari sebuah kedai di Bugis Junction. – Agensi