KUALA LUMPUR – Pelaksanaan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suami yang memiliki lebih daripada seorang isteri sedang diperhalusi pihak KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebagai agensi pelaksana.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata buat masa ini, cadangan potongan dua peratus daripada gaji suami dan RM50 sumbangan kerajaan hanya untuk isteri pertama sahaja.
“Pelaksanaan caruman wajib dua peratus dan liputan perlindungan keselamatan sosial oleh Perkeso memerlukan pindaan kepada akta, dasar dan peraturan sedia ada di bawah KWSP dan Perkeso yang masing-masing di bawah Kementerian Kewangan dan Kementerian Tenaga Manusia,” katanya pada sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab usul yang dikemukakan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai isu pelaksanaan caruman dua peratus KWSP kepada suri rumah.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menegaskan pelaksanaan potongan KWSP dua peratus daripada gaji suami akan tetap dilaksanakan bagi memenuhi iltizam kerajaan kepada rakyat.
Beliau berkata pelaksanaan skim itu dicadang dilaksanakan secara berfasa memandangkan ia memberi manfaat kepada suri rumah bukan sahaja berbentuk simpanan, malah suri rumah turut mendapat perlindungan sosial di bawah Perkeso.
Mengenai alternatif lain sekiranya suami enggan mencarum dua peratus daripada carumannya kepada isteri, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata suri rumah boleh mendapat manfaat tabungan dan sumbangan kerajaan menerusi Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M).
Beliau berkata SP1M diperkenalkan sejak Januari 2010 bagi memastikan golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap termasuk suri rumah mempunyai simpanan sendiri apabila mencapai umur persaraan.
“Konsep SP1M adalah menggalakkan caruman sukarela ke dalam akaun KWSP mengikut keperluan. Simpanan ini akan menerima sumbangan padanan daripada kerajaan sebanyak 15 peratus daripada amaun caruman tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM250 setahun,” katanya. – BERNAMA