KUALA LUMPUR – Pelan Wilayah Kuala Lumpur 2020-2040 akan diwartakan pada akhir tahun depan dalam usaha menjadikan ibu negara ke arah sebuah bandaraya bertaraf dunia, kata Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata pelan tersebut perlu bagi meneruskan perancangan pembangunan ibu kota, mengatasi kesesakan lalu lintas dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan warga kota.
“Pelan ini sepatutnya digazetkan lebih awal iaitu pada 2015, namun ia telah ditangguhkan. Hanya pelan struktur (Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020) yang diwartakan sebelum ini.
“Bila pelan tempatan (Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020) tak diwartakan, maka ada banyak kelonggaran berlaku dan dalam pentadbiran baharu ini kita akan wartakannya bagi menyelesaikan projek-projek yang didapati bercanggah dengan pelan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah di Menara DBKL, di sini, hari ini.
Khalid berkata kementerian bersama-sama 11 anggota Parlimen akan merangka pelan Wilayah Kuala Lumpur 2020-2040 sebelum penghujung 2019.
“Sebelum 2020 kita akan pamerkan pelan untuk persetujuan semua pihak sebelum ia digazetkan supaya tiada lagi ketidaktelusan,” katanya.
Sementara itu, Khalid menyangkal khabar angin yang mendakwa bahawa kementerian tidak meluluskan bajet untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan di seluruh wilayah.
Jelasnya, pihak kementerian juga tidak pernah menghentikan pembayaran kepada kontraktor utama dan masih menghormati kontrak mereka.
“Dalam tempoh dua minggu dari sekarang, saya akan mengadakan pertemuan dengan semua kontraktor utama bagi membincangkan tentang prestasi kontraktor di kawasan mereka,” katanya. – BERNAMA