KOTA BHARU – Seorang pemandu kren dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua tuduhan merogol adik iparnya berusia 14 tahun.
Tertuduh berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun satu bulan di dalam bilik tidur di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Golok, Pasir Puteh pada jam 12 tengah malam, Februari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa sama di ruang tamu di sebuah rumah tanpa nombor, Bukit Peraksi, Pasir Puteh pada jam 10 pagi, 19 April lalu.
Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan bulan dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias tidak menawarkan jaminan kerana khuatir tertuduh mengganggu mangsa yang juga bekas adik iparnya.
Bagaimanapun, peguam Azura Ghazali yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000.
“Tertuduh seorang duda mempunyai seorang anak masih kecil dan sudah bercerai dengan kakak mangsa,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tidak dibenarkan menganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.
Ahmad Bazli menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – BH Online
** Sekadar Video Hiasan..