KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori dikesan membawa muatan berlebihan hingga mencecah 117 peratus berat jumlah muatan dibenarkan dalam Operasi Timbang Berat Lori di Jalan Cheras, Lebuhraya Connought, semalam.
Pemandu lori membawa muatan batu itu dikesan membawa muatan 45.7 tan walaupun kenderaan itu hanya dibenarkan membawa 21 tan.
Ketika disoal anggota polis trafik bertugas, lelaki berusia 40-an itu memberi alasan mengejar masa menghantar muatan batu berkenaan ke Hulu Langat, Selangor.
Lelaki terbabit antara 10 pemandu lori dikenakan saman dalam operasi disertai enam pegawai serta 47 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bermula jam 5 hingga 10 pagi semalam.
Dalam operasi diketuai Pegawai Turus (Penguatkuasaan) JSPT Kuala Lumpur Deputi Superintendan Mohd Safiee Ishak bersama Ketua Operasi Zon Tengah SPAD Mohd Rozairi Abd Hamid, sebanyak 21 kenderaan berat diperiksa.
Daripada jumlah itu, 10 lori membawa muatan batu, tanah dan pasir dibawa ke Stadium Badminton Cheras untuk proses menimbang muatan.
Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, 20 saman dikeluarkan pihaknya dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak 10 saman dikeluarkan atas kesalahan membawa muatan secara berbahaya, kenderaan kotor (5), lebih had muatan (2), nombor pendaftaran kabur (1), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (1) dan pemilik atau pengendali lori bersubahat (1).
“Sementara itu, lapan kes dirujuk kepada SPAD atas kesalahan membawa lebih had muatan mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Zulkefly berkata, tujuan operasi itu dijalankan untuk mencegah kemalangan jalan raya di sekitar pusat bandar ini terutama membabitkan kenderaan berat. – myMetro
*Video sekadar hiasan..