KETIKA May Jeeranan menjalani pembedahan implan payudara pada Disember lalu, dia tidak pernah membayangkan pembedahan yang dilakukan di hospital di Seoul itu hampir meragut nyawanya.
Kini dia mahu mencari keadilan berhubung kes ini.
Bintang pop tahun 2000 itu merancang untuk menyaman sebuah hospital di Korea Selatan dan semua pihak yang terlibat dengan menuntut pampasan sebanyak THB20 juta (kira-kira AS$600,000).
Tindakan itu diambil selepas dia terkena jangkitan darah akibat pembedahan pembesaran payudaranya, menyebabkan dia terpaksa menjalani rawatan intensif dan dijangka hanya mempunyai 10 peratus peluang untuk hidup.
Mengambil tindakan undang-undang adalah sebahagian daripada jalan untuk Jeeranan memulihkan fizikal, emosi dan kewangannya, kata peguamnya Wanchai Sornsiri, kepada Coconuts Bangkok.
Sasaran tuntutan mahkamah yang dirancang termasuklah hospital di Korea Selatan di mana pembedahan dilakukan, serta hospital KTOP di Bangkok dan ejen Thailand yang membantu dalam urusan pembedahan.
“Kami masih menyediakan bukti untuk memfailkan saman terhadap hospital Korea dan Thailand, serta ejen Thailand,” kata Wanchai.
Pasukan peguamnya tidak tergesa-gesa untuk memuktamadkan tarikh pemfailan, katanya, sambil menyatakan mereka sedang membuat persediaan teratur dalam masa satu tahun.
Sementara itu, Jeeranan masih menjalani terapi fizikal harian untuk pergerakan bahu dan lengannya yang hanya terhad kepada ’90-180 darjah’ selepas tiga pembedahan untuk mengeluarkan silikon dari payudaranya dan untuk menstabilkan luka teruk akibat jangkitan.
Bekas bintang pop itu telah dimaklumkan oleh doktornya bahawa dia mungkin tidak dapat pulih sepenuhnya dan tidak dapat menyusukan bayi.
“Doktor tidak pasti jika fleksibiliti 360 darjah pergerakan tangan saya akan pulih seperti biasa, tetapi ia sekurang-kurangnya akan mengambil masa 6 bulan ke setahun,” katanya kepada Coconuts.
“Buat masa ini, payudara saya rasa kebas. Saya juga mempunyai luka besar di dada, menurut doktor ia mengambil masa satu atau dua tahun untuk sembuh.”
Walaupun dia telah mempertimbangkan untuk melakukan pembedahan kosmetik untuk mengubah keadaannya, tiada apa yang boleh dilakukan selagi lukanya belum sembuh sepenuhnya, kata Jeenanan.
KTOP menolak permintaan Coconuts untuk mendapatkan komen.
Wanchai berkata pasukannya juga memfailkan aduan dengan institusi kerajaan yang berkaitan termasuk Majlis Perubatan Thailand, Kementerian Kesihatan Awam, Kementerian Pelancongan dan Sukan dan Pejabat Lembaga Perlindungan Pengguna, dengan harapan organisasi-organisasi ini akan memberi perhatian terhadap industri pembedahan kosmetik yang menguntungkan ini serta pengiklanannya.
“Kami mahu kisah ini membangkitkan kesedaran untuk institusi-institusi ini untuk menjaga hak dan keselamatan rakyat,” jelas Wanchai.
“Kes ini mempunyai kaitan dengan hak dan keselamatan orang awam dan bukan hanya kes spesifik kepada kes ini sahaja.” – Mstar