KOTA BHARU – Isu pembubaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) hanya spekulasi pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mengambil kesempatan terhadap dakwaan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan mahu menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata setakat ini, kabinet masih belum membincangkan sebarang perkara berhubung status MARA dan cakap-cakap mengenai pembubaran agensi berkenaan hanya tular di media sosial.
“Kerajaan belum memutuskan (mengenai MARA) dan ia hanya spekulasi yang berlegar di media sosial. Kita tunggu keputusan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pucuk pimpinan di mana kedudukan MARA.
“Jika ia tak sesuai ia boleh dibincangkan namun perlu diingatkan ada akta khusus mengenai MARA dan jika ingin dibubarkan, ia akan mengambil masa yang panjang (dan tidak semestinya berlaku),” katanya.
Mohd Radzi berkata demikian kepada pemberita pada majlis kesyukuran sempena pelantikan beliau sebagai timbalan menteri anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Ketereh di Perol di sini, hari ini.
Ditanya mengenai Himpunan Kebangkitan Ummah yang berlangsung di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu, Kuala Lumpur hari ini yang didakwa bertujuan bagi membela masyarakat Melayu yang dilihat terancam selepas kemenangan PH pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14), beliau berkata naratif itu sengaja direka-reka oleh pembangkang bagi meraih sokongan masyarakat.
“Isu hak keistimewaan bangsa Melayu (yang akan terhakis jika PH menang) adalah naratif UMNO sebelum PRU14 lagi. Apabila PH menang mereka ketandusan idea untuk serang dasar kita jadi cara paling mudah adalah menakut-nakutkan orang Melayu.
“Untuk beri justifikasi maka mereka memainkan naratif agenda Melayu terhapus dalam PH padahal ia jauh sekali. Saya berharap rakyat tidak termakan dengan cerita-cerita sebegini,” katanya. – BERNAMA