PENCERAMAH bebas yang didakwa merogol gadis 20-an di Seremban pada 9 Mac lalu, sering menyembunyikan diri menyebabkan polis berdepan kesukaran mencekupnya.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin menegaskan, pihaknya tidak melengahkan masa biarpun laporan kes itu dibuat mangsa pada hari kejadian.
“Sebaik laporan diterima, anggota polis menjalankan pemburuan terhadap suspek yang berusia 30-an. Menyedari dirinya diburu, suspek sering melarikan diri di seluruh negara,” katanya menjawab kekeliruan netizen yang mempertikaikan kelewatan polis menahan suspek selepas kejadian berlaku empat bulan lalu.
Norazam berkata, pihaknya menjalankan pemburuan berterusan dan akhirnya penceramah yang juga pengerusi pertubuhan agama berjaya dicekup di daerah ini antara 3 hingga 7 petang, kelmarin.
Harian Metro hari ini melaporkan penceramah terbabit dicekup polis petang kelmarin susulan laporan dibuat seorang gadis 20-an mendakwa dirogol lelaki itu pada 9 Mac lalu.
Laporan menyebut, suspek membawa mangsa ke rumahnya untuk makan tengahari ketika anak dan isterinya tiada di kediaman.
Kesempatan itu suspek dikatakan menonton televisyen bersama gadis berkenaan sebelum merogolnya di ruang tamu rumah. – MyMetro