KUALA LUMPUR – Prosiding pengurusan kes saman membabitkan syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka ditetapkan hari ini.
Ia akan disebut semula di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Siti Faraziana Zainuddin dan akan menetapkan hakim serta tarikh bagi mendengar kes itu.
Isnin lalu, Rosmah sudah memfailkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman itu dengan mendakwa syarikat Global Royalty Trading SAL membuat penghantaran 44 barangan kemas itu atas kemahuan mereka sendiri.
Beliau mendakwa ia adalah kemahuan syarikat itu sendiri tanpa sebarang kewajipan daripada Rosmah membuat pembelian.
Firma guaman Tetuan Geethan Ram mewakili Rosmah melalui kenyataan media mendakwa anak guamnya tidak membeli barangan kemas yang menjadi subjek utama dalam kes saman terbabit, sehubungan itu hak pemilikan sah barangan berkenaan tidak pernah berpindah kepada anak guamnya.
Syarikat yang berpangkalan di Beirut memfailkan saman itu pada 26 Jun lalu dengan mendakwa, Rosmah sebagai pelanggan tetapnya dalam keadaan tertentu ada meminjam beberapa barang kemas dan memulangkan semula.
Defendan didakwa akan menerima barang kemas daripada plaintif melalui dirinya sendiri, pekerja atau ejen di Kuala Lumpur, Dubai atau Singapura.
Plaintif mendakwa barang kemas yang dihantar diiringi dengan memorandum hantar serah yang menggambarkan barang serta harga barang itu, termasuk terma dan syarat tertentu.
Pada 10 Februari lalu, melalui serahan tangan, jurujual/ejen Samer Halimeh dan Maen Shakhshir menyerahkan sebanyak 44 barang kemas kepada defendan.
Sementara itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, kes saman seorang ahli perniagaan terhadap bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan dua lagi ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini.
Kes itu diteruskan dengan perbicaraan apabila semua pihak gagal mencapai penyelesaian ketika proses timbang tara.
Pada 6 April lalu, Florence Lee Jye Wen memfailkan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM500,000 dengan menamakan Shahidan, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Datuk Rozabil Abdul Rahman kerana melanggar kontrak mengenai perjanjian pembelian periuk nasi dengannya.
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa UMNO Perlis memesan sebanyak 60,000 periuk nasi bersaiz 1.8 liter yang tertera logo UMNO dan Barisan Nasional bersama dengan singkatan DSSK yang merujuk kepada Shahidan Kassim pada 3 Jun 2015.
Bagaimanapun, wanita itu mendakwa 8,000 unit masih tidak diambil sehingga hari ini dan menyebabkan beliau rugi sebanyak RM592,000.
Lee juga menuntut ganti rugi am dengan jumlah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BH Online