BESTARI JAYA – Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Haji Mohd Puat Bin Dahalan hari ini merasmikan pusat pembelajaran dan perkongsian bersepadu untuk komuniti tempatan untuk mempelajari tentang pengurusan mampan ekosistem gambut. Pusat ini dikenali sebagai “Community Sustainable Peatland Centre (CoSPEC)” terletak di Kampung Raja Musa berhampiran dengan Hutan Simpan Raja Musa.
Penubuhan CoSPEC bertujuan untuk membantu komuniti terutamanya komuniti tempatan uEntuk memahami sistem hutan paya gambut yang rumit dan kepentingan melindungi tanah gambut untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dan melindungi biodiversiti negara yang ternilai.
Selepas merasmikan Pusat tersebut, Dato ‘Dr. Hj. Mohd Puat Bin Dahalan berkata “Penubuhan Pusat ini akan menyokong usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk memerangi perubahan iklim dan meningkatkan kelestarian biodiversiti, berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hutan paya gambut. Ini termasuk pengurusan hutan melalui program kesedaran seperti penglibatan komuniti tempatan untuk pencegahan kebakaran hutan dan pengurusan hidrologi berdekatan hutan simpan, pemuliharaan hidupan liar dan penanaman pokok.”
Beliau menambah penubuhan Pusat ini tidak mungkin dilakukan tanpa sokongan dari HSBC Bank Malaysia Berhad dan Global Environment Centre (GEC) yang komited dalam menyokong Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dalam Program Pemulihan Hutan Raja Musa dan Pelan Pengurusan Bersepadu untuk Hutan Paya Gambut Utara Selangor 2014-2023.
“Penubuhan Pusat ini menandakan langkah ke hadapan GEC dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan HSBC Bank Malaysia Berhad untuk menyokong pengembangan dasar dan amalan terbaik untuk pemuliharaan dan perlindungan gambut sepanjang dekad yang akan datang,” kata Faizal Parish, Pengarah GEC.
Di bawah pentadbiran GEC, GEC-CoSPeC akan menumpukan perhatian dalam mengenalpasti isu-isu dan keutamaan untuk memulihara, melindungi dan memulihkan Hutan Paya Gambut Selangor Utara (HPGSU), menggalakkan dan meningkatkan kesedaran dan memahami kepentingan pengurusan ekosistem gambut yang mampan serta menyokong mata pencarian komuniti luar bandar serta mencegah kebakaran. Matlamat serta-merta Pusat ini termasuk memperkasakan Sahabat Hutan Paya Gambut Selangor Utara sebagai mekanisme yang mempunyai impak tinggi dalam penyertaan komuniti untuk memulihara sumber semula jadi di HPGSU dan mempromosikan ekopelancongan sebagai sumber alternatif kehidupan.
Rancangan masa depan Pusat ini termasuk menubuhkan pusat latihan untuk pusat sumber pemuliharaan berasaskan komuniti, menganjurkan program sosio-ekonomi untuk komuniti tempatan dan membina kawasan pembelajaran luar.
Stuart Milne, Ketua Pegawai Eksekutif, HSBC Malaysia berkata, “HSBC telah bekerjasama dengan beberapa organisasi bukan kerajaan di Malaysia dan di seluruh dunia untuk menyokong mitigasi dan penyesuaian iklim. Salah satu inisiatif yang membolehkan kita mempunyai kesedaran terhadap iklim adalah dengan menggalakkan orang ramai untuk belajar mengenai tanah gambut. Kami berbesar hati kerana turut sama dalam penubuhan CoSPeC oleh Global Environment Centre(GEC). Sumbangan daripada HSBC telah membolehkan GEC menganjurkan latihan bersama pihak berkepentingan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan Hutan Paya Gambut Selangor Utara dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan; termasuk penanaman pokok, program Peatland Forest Ranger (PFR) di sekolah-sekolah termasuk beberapa inisiatif yang lain.
“Terdapat keperluan dalam usaha menangani perubahan iklim dan kami sedang melakukannya di HSBC. Walau bagaimanapun, dunia masih berada pada permulaan pertarungan itu, belum sampai pada pengakhirannya. Ia memerlukan gabungan usaha dari rangkaian perniagaan, masyarakat dan negara-negara dunia untuk menghadapi cabaran mendatang. Sektor kewangan mempunyai peranan penting dalam usaha menangani perubahan iklim dengan jayanya dan HSBC akan memainkan peranannya secara penuh dalam peralihan kritikal ke ekonomi karbon rendah.”
Sejak bermulanya Program Pemulihan Hutan Raja Musa pada tahun 2008, sebanyak 116,000 pokok telah ditanam dalam lingkungan 194 ha dengan penyertaan 22,000 sukarelawan di Hutan Simpan Raja Musa dengan kerjasama GEC dan JPNS. – Mynewshub.tv
*Video sekadar hiasan…