SYDNEY – Satu spesies dinosaur baharu telah ditemui dan dinamakan oleh para penyelidik Australia sedekad selepas fosilnya digali, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media tempatan.
Tulang dinosaur “Akainacephalus johnsoni,” sejenis herbivor kira-kira lima meter panjang dengan perisai berduri, berkaki empat dan mempunyai ekor seperti belantan itu tergolong dalam keluarga Ankylosaurid serta hidup lebih 75 juta tahun lepas, lapor media tempatan memetik kenyataan penyelidik Universiti James Cook, Jelle Wiersma, pada Jumaat.
Nama itu berasal dari bahasa Yunani yang merujuk kepada duri atau keadaan tercacak dan kepala.
Tulang dinosaur itu ditemui di Utah, Amerika Syarikat sedekad lepas dan paleontologi telah mengkajinya sejak penemuan tersebut.
Kira-kira 76 juta tahun lepas, Utah adalah panas, lembap, memiliki sungai, anak sungai dan paya yang bersilang-silang serta mengalir perlahan, dengan pokok konifer besar dari jenis seperti sipres, kata Wiersma yang mengetuai laporan berhubung spesies baharu itu.
“Ia mempunyai pelbagai tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang menghuni kawasan itu di darat mahupun dalam air yang amat berbeza dengan flora dan fauna hari ini.”
“Kami mendapat lebih banyak pemahaman berkaitan kepelbagaian hidupan ketika itu … dan ia turut membantu kita untuk lebih memahami persekitaran moden.”
Rangka Akainacephalus dijadual dipamerkan di Muzium Sejarah Semula Jadi Utah minggu ini. –BERNAMA