KUANTAN – Sejak kebelakangan ini, semakin ramai pencinta haiwan terutama kucing yang begitu mementingkan aspek penjagaan sehingga sanggup berbelanja besar bagi memastikan ia kelihatan sihat dan berbulu cantik.
Namun, masalah yang sering dihadapi ialah apabila bulu ‘si manja’ ini berguguran ketika disentuh dan melekat pada pakaian dan sekitar tempat tinggal serta di dalam rumah sehingga ia menjadi penghalang kepada peminat kucing yang alah kepada bulu untuk bermanja dengan haiwan itu.
Berdasarkan faktor tersebut mendorong penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Nina Suhaity Azmi, 38, dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) menghasilkan produk penyelidikan Dr. Fur iaitu serum bagi pelebat bulu bagi binatang peliharaan.
Menurutnya produk yang terhasil daripada kajian yang dilakukan selama empat tahun dan siap pada tahun lepas itu, dapat membantu untuk mengelakkan keguguran bulu dan menggalakkan pertumbuhan bulu bagi haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
“Boleh dikatakan hampir kesemua produk untuk mengelak keguguran dan menggalak pertumbuhan bulu yang ada di pasaran bagi haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing diformulasikan dengan bahan aktif khas yang dinamakan Glycosaminoglycans (GAGs) daripada sumber tidak dijamin halal.
“Menyedari hakikat itu saya merasa terpanggil untuk menghasilkan produk Dr. Fur ini dengan menggunakan GAGs daripada sumber marin yang mudah untuk didapati serta jaminan status halal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya, kos pengekstrakan bahan marin ini juga lebih rendah namun dapat menghasilkan GAGS yang berkualiti tinggi dan membolehkan produk dipasarkan pada harga yang kompetitif berbanding produk lain yang diimport.
Katanya, berdasarkan ujian makmal yang dijalankan dan maklum balas yang diberikan oleh responden yang telah menggunakan produk berkenaan mendapati produk itu amat berkesan bagi tujuan yang disasarkan itu.
Menurutnya, terdapat tiga fasa utama dalam pertumbuhan rambut dan bulu iaitu fasa pertumbuhan aktif (Anagen), fasa peralihan (Catagen) dan fasa rehat (Telogen).
“Serum bulu yang dibangunkan UMP ini mempunyai mukopolisakarida yang berfungsi untuk membantu fasa Anagen dan Catagen yang secara terus akan menggalakkan pertumbuhan bulu,” katanya yang juga pernah menghasilkan serum mengelak keguguran rambut.
Menurut Dr Nina, produk ini mendapat kerjasama dengan rakan kolaborasi UMP, Zastech PLT iaitu sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah program keusahawanan tekno Symbiosis yang merupakan program di bawah seliaan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).
Kini, Zastech PLT telah menerima dana CRDF1 dari MTDC untuk mengkomersilkan produk serum bulu Dr. Fur ini.
Produk Dr. Fur yang dihasilkan ini telah menerima pengiktirafan baik di peringkat antarabangsa, mahupun dalam negara dengan memenangi pingat dan anugerah khas dalam pertandingan penyelidikan.
Antaranya di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2015, International Invention, Innovation & Technology Exposition (ITEX) 2015 dan Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) UMP.
“Dari semasa ke semasa, produk ini akan ditambah baik mengikut ketetapan dan kehendak pasaran, dalam masa yang masa kita juga sedang mengkaji untuk membangunkan produk hiliran lain yang berkait dengan produk itu untuk memastikan kelestarian pengkomersilan produk,” katanya. – BERNAMA