POLIS Perancis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan penyokong ghairah yang memenuhi Champs Elysees hari ini selepas berlaku kekecohan ketika mereka meraikan kejayaan Les Bleus muncul juara Piala Dunia, di Moscow, malam tadi.
Jutaan peminat bola sepak Perancis berada di jalan raya untuk meraikan kejayaan berkenaan dan sebahagiannya menuju ke mercu tanda kebanggaan negara di pusat bandar di Paris.
Namun, ada segelintir penyokong bertempur dengan polis selepas merosakkan kedai dan harta awam di sekitar Champs Elysees.
Jurucakap polis mendakwa ada penyokong membaling batu dan objek lain ke arah petugas keselamatan sekali gus memaksa kawalan dipertingkat dan menyuraikan mereka menggunakan gas pemedih mata.
Keputusan itu dilakukan selepas pegawai keselamatan secara rasmi mengumumkan langkah kecemasan selepas kekacauan juga dilaporkan berlaku di Lyon.
Pihak berkuasa keselamatan Perancis sudah menjangka kebanjiran itu apabila mengerah 110,000 pegawai keselamatan untuk bertugas sempena festival Bastille Day pada Sabtu yang kebetulan bersambung dengan kemeriahan final Piala Dunia, semalam. – AFP/myMetro Online