KUANTAN – Seekor penyu dipercayai spesies penyu lipas ditemui mati dipercayai akibat terbelit pukat rawai (gerek) di Pantai Chendor, dekat sini, awal pagi tadi.
Penyu yang dipercayai penyu dewasa dengan anggaran berat antara 30 dan 40 kilogram (kg) itu ditemui kira-kira jam 8 pagi oleh sekumpulan nelayan yang sedang memukat ikan di pantai berkenaan.
Pengusaha Rimbun Dahan Turtle Hatchery, Ariffin Hassan, 59, berkata dia dimaklumkan nelayan berkenaan mengenai penemuan bangkai penyu itu dan mengambil keputusan menanamnya di kawasan berhampiran.
“Saya tidak menolak kemungkinan penyu itu mati akibat terbelit rawai (gerek) di bahagian leher dan kaki kanan bahagian depannya… rawai biasanya digunakan untuk menangkap ikan pari.
“Melihat pada bangkainya yang sudah berbau busuk, ia dipercayai sudah mati tiga atau empat hari sebelum ditemui,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.
Ariffin berkata, penyu lipas adalah spesies yang hampir pupus dan sejak tiga tahun kebelakangan tiada seekor pun yang mendarat di persekitaran pantai berkenaan.
“Kita tidak mahu ia pupus kerana kecuaian yang datang dari kita sendiri tanpa disedari,” katanya. – BH ONLINE
*Sekadar Video Hiasan..