KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata wujud keperluan untuk memupuk pemimpin yang memimpin dengan hati nurani, berlandaskan moral dalam melakukan tindakan peribadi mereka serta dalam menjalankan perniagaan.
Timbalan perdana menteri berkata pemimpin sedemikian akan memastikan diri mereka sendiri serta perniagaan mereka dijalankan dengan penuh integriti, beretika dan menghormati satu sama lain.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan dan pemimpin politik tidak semestinya sentiasa berjaya dalam bidang itu, ada yang menyalahgunakan kepercayaan rakyat, menafikan fakta dan berbohong di pentas dunia.
“Ini memberikan kita lebih sebab untuk mewujudkan persekitaran bagi individu-individu berhati nurani untuk mencapai kejayaan, di mana terdapat komitmen ke arah mewujudkan sumbangan bernilai terhadap negara dan masyarakat kita,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah CSR Malaysia 2018 di sini, hari ini.
Majlis itu bagi menghargai individu yang cemerlang dan perbadanan yang memberi inspirasi atas usaha mereka untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik menerusi pelbagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
Untuk itu, Dr Wan Azizah berkata para pemimpin perlu mengambil bahagian dalam aktiviti CSR kerana mereka percayakannya, bukan kerana diberi mandat oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata dalam dunia yang mementingkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pulangan kewangan, pasti akan terdapat pemimpin yang bersifat tidak berpandangan jauh dan jangka pendek dalam perancangan mereka, hanya bimbangkan jangkaan pegawai atasan mereka.
“Mereka menjadi pemimpin yang bersikap dingin yang kurang rasa empati dan hanya memberi tumpuan untuk memenuhi aras KPI seterusnya,” katanya dan menurutnya ada yang mungkin sanggup menipu angka dan bergantung pada kreativiti dalam penyediaan akaun untuk menyembunyikan kerugian mereka atau penyelewengan.
Sementara itu, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kementeriannya telah memulaksan inisiatif pembangunan kepemimpinan wanita bertujuan bukan sahaja untuk melahirkan lebih banyak pemimpin wanita tetapi juga memimpin dengan hati nurani.
“Bagi pemimpin-pemimpin ini, CSR telah terpahat dalam objektif profesional dan perniagaan mereka. Bagi mereka kejujuran adalah tanggungjawab peribadi dan satu alasan untuk menjalankan perniagaan,” katanya. – BERNAMA