KUALA LUMPUR – Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Persim) mendakwa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menipu kononnya pernah mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum mengumumkan penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Persim, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, pembohongan Anthony Loke itu merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan bakal menimbulkan kemarahan persatuan-persatuan teksi lain terhadap Persim.
“Persim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Anthony Loke kononnya Kementerian Pengangkutan ada mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak kami sebelum mengumumkan penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing dalam masa satu tahun,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Berikut penjelasan penuh Persim berhubung isu tersebut:
KAMI dari Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia – PERSIM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan YB Anthony Loke kononnya Kementerian Pengangkutan ada mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak kami sebelum mengumumkan penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing dalam masa satu Tahun.
Kami berpendapat kenyataan YB Anthony Loke adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawap dan bakal menimbulkan kemarahan Persatuan-Persatuan Teksi lain terhadap kami yang sedang merancang mewujudkan Gabungan Kesepakatan Pertubuhan Teksi Malaysia – GKPTM.
Kamarudin berkata, kami tidak menafikan kami pernah bertemu dengan beliau pada 9/7/2018, namun itu bukan lah satu pertemuan rasmi diantara kami dengan Kementeriannya.
Kami tidak pernah dijemput secara rasmi untuk sesi perbincangan dengan pihak Kementerian Pengangkutan, sebaliknya saya telah dijemput oleh pihak Syarikat Teksi untuk mewakili mereka bagi sesi perbincangan dengan pihak Kementerian.
Namun tarikh sesi mesyuarat tersebut telah tersebar luas ke pengetahuan Persatuan Teksi dan telah menyebabkan Persatuan-Persatuan Teksi yang telah lama menunggu jemputan Kementerian untuk mengadakan perbincangan menerjah sesi mesyuarat berkenaan.
Memandangkan bilik Mesyuarat ditingkat 10 tidak dapat menampung kehadiran Persatuan Teksi dari seluruh Negara, pihak Kementerian dalam keadaan terdedak dan terpaksa memindahkan sesi mesyuarat berkenaan ke Dewan di tingkat 2 dan menukar sesi mesyuarat kepada sesi berdailog.
Saya dan ramai lagi yang hadir di dalam sesi berdailog itu telah mengemukan beberapa cadangan kepada Kementerian bagi menyelesaikan isu e-hailing.
Dalam pada itu YB Anthony Loke telah berjanji akan menyelesaikan masalah e-hailing dan akan memendekkan segala proses perlesenan kenderaan-kenderaan persendirian yang digunakan sebagai kenderaan e-hailing.
Namun kami amat kecewa apabila pada tarikh 11/7/2018 YB Anthony Loke dilihat mengunapakai hampir 99% peraturan yang dicadangkan oleh SPAD, wahal segala cadangan dan peraturan itu kami telah sedia maklum sebelum beliau dilantik sebagai Menteri dan sebelum Pakatan Harapan menumbangkan BN.
Tindakan YB Anthony Loke mengunapakai semua peraturan yang dirancang oleh SPAD ketika zaman pemerintahan Dato’ Seri Najib jelas membuktikan beliau tidak begitu sensitif dengan permasalahan kami.
Beliau telah membuat keputusan sebelum kami menghadiri sesi berdailog pada 9/7/2018. Namun jika YB Anthony Loke benar-benar memaksudkan pihak kami pernah bertemu dan berbincang dengan Kementeriannya sebelum dari tarikh 9/7/2018, saya mencabar YB Anthony Loke mengemukan bukti.
Bagi saya peraturan mewajibkan pemandu kereta persendirian mendapat lesen PSV dalam masa 1 Tahun adalah satu keputusan yang tidak masuk akal, seolah-olah memberi perompak masa 1 Tahun untuk terus merompak.
Kamarudin menambah, saya berpendapat Kementerian Pengangkutan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya atau memberi kepercayaan kepada SPAD, Kementrian seharusnya menubuhkan satu Badan Khas bagi mengadakan pertemuan dengan kami, mendengar permasalahan kami dan cadangan kami, seterusnya Badan Khas berkenaan mencari jalan penyelesaian.
Tetapi apa yang belaku hari ini, Kementrian bukan sahaja enggan mengadakan perbincangan dengan kami, sebaliknya Kementerian mengunapakai sepenuhnya cadangan daripada Suruhanjaya yang selama ini telah terbukti gagal membawa sebarang pembaharuan kepada industri teksi Negara.
Saya membayangkan mengadakan satu lagi Perhimpunan Aman di hadapan Pejabat YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan perhatian YAB Perdana Menteri berhubung nasib kami.
Kami tidak bersetuju dengan keputusan bersendirian yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan.
Kamarudin Mohd. Hussain
Timbalan Pengerusi Persatuan Teksi Malaysia PERSIM
– MYNEWSHUB.TV