NIZHNY NOVGOROD, Rusia – Perancis harungi permulaan perlahan di Piala Dunia tetapi empat gol disumbat ketika menewaskan Argentina harus memberi peringatan kepada Uruguay apabila kedua-dua pasukan bertemu di suku akhir, esok.
Skuad kendalian Didier Deschamps sentiasa dilabel sebagai calon pilihan kejohanan tetapi reputasi mereka mulai goyah berdasarkan aksi pemanas badan menjelang kempen ke Rusia.
Begitupun, ia pantas dimatikan di Kazan, Sabtu lalu apabila pemain berusia 19 tahun, Kylian Mbappe mencuri tumpuan apabila meledak dua gol ketika meraih kemenangan 4-3 ke atas Argentina di pusingan kedua.
Barisan tengah Perancis bukan saja dapat menghentikan ancaman Lionel Messi, tetapi kepantasan yang dimiliki pemain remaja itu dan rakan sepasukannya menunjukkan apa yang boleh mereka capai di Rusia.
“Perlawanan peringkat kumpulan kadang kala memberi kesukaran,” kata pembantu jurulatih, Guy Stephan mengulas dua kemenangan dan satu seri pada aksi Kumpulan C.
“Tetapi perlu difahami yang kami berdepan lawan yang amat tersusun. Kami faham keinginan pasukan Perancis untuk mencapai kejayaan, untuk menjaringkan gol dan menjadi kreatif.”
Untuk menewaskan pertahanan kental Uruguay yang hanya melepaskan satu gol di Rusia setakat ini, Perancis perlu memanfaatkan segala kelebihan yang dimiliki terutama menerusi gandingan Mbappe, Antoine Griezmann dan Olivier Giroud.
“Saya tidak fikir Perancis mempunyai jentera serangan sekuat 1998 ketika mereka memenangi Piala Dunia,” kata bekas jurulatih Croatia, Slaven Bilic yang menjadi pengulas di Moscow.
Bekas penyerang Switzerland, Stephane Chapuisat dalam pada itu tidak dapat menyembunyikan kekagumannya terhadap Mbappe.
“Tetapi apabila saya melihat Mbappe berlari pada jarak 64 meter dan menghadiahkan Perancis penalti, saya berkata kepada diri sendiri ‘ia menakjubkan’,” katanya.
Namun, untuk memastikan pemain Paris Saint-Germain itu dapat menonjolkan semua potensi yang dimilikinya dan menyumbang secara kolektif, dia memerlukan bantuan penuh rakan sepasukannya. – Reuters