KUALA LUMPUR – Polarisasi kaum dan agama akan terus melebar sekiranya persijilan kurikulum di luar aliran pendidikan kebangsaan seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf secara rasmi di negara ini.
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, jika kurikulum itu diiktiraf secara rasmi, maka sijil mengikut acuan pendidikan lain akan turut mendesak perkara yang sama.
“Desakan ini hanya akan mencetuskan kekeliruan yang boleh menggugat kesepaduan orientasi pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian berikutan cadangan kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor awam di negara ini.
Muhammad Faisal berkata, ABIM tetap berpendirian bahawa kemasukan ke IPTA wajib memenuhi syarat seperti mana yang diperuntukkan dalam kurikulum kebangsaan.
Kata beliau, syarat itu adalah memerlukan kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah selain kelulusan mata pelajaran lain daripada peperiksaan yang diiktiraf IPTA berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, ABIM mengambil maklum cadangan mengiktiraf UEC di Malaysia untuk memanfaatkan kira-kira 3,000 pelajar yang menamatkan pengajian sijil itu setiap tahun di sekolah menengah persendirian Cina.
Justeru, katanya, dalam isu pengiktirafan UEC, tidak dapat tidak, satu kajian ke arah meminda kurikulum UEC agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan amat perlu dititikberatkan terlebih dahulu.
“Antaranya termasuklah meningkatkan standard subjek Bahasa Melayu dalam UEC supaya setaraf dengan subjek Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta merombak kurikulum dalam subjek Sejarah agar ia menepati silibus yang ditetapkan dan beberapa pertimbangan lain yang perlu diberikan perhatian,” katanya. – Mynewshub.tv