JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki di sekitar kawasan Ulu Tiram, di sini, dua hari lepas dan merampas dadah bernilai RM30,000.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata lelaki berumur 60 tahun itu ditahan kira-kira 8.30 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
“Hasil siasatan lanjut, polis merampas sejumlah serbuk putih disyaki kafein seberat 7,500 gram dan 1,100 biji pil ecstasy dengan anggaran bernilai RM30,000. Turut dirampas, dua kereta jenis Mercedes Benz dan Honda Oddeysey daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Khalil berkata lelaki itu kini direman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori, katanya. – BERNAMA