SUNGAI PETANI – Sebuah premis judi dalam talian di Taman Angsana dekat sini, yang beroperasi secara haram sejak bulan lalu, diserbu sepasukan polis Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menerusi Op Dadu Daerah Kuala Muda, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Kedah, SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 10.50 pagi tadi, polis turut menahan tujuh lelaki tempatan berusia lingkungan 15 hingga 22 tahun, dipercayai bekerja sebagai operator premis tersebut.
“Siasatan awal mendapati premis berkenaan beroperasi setiap hari sejak Jun tahun ini, yang mana ia dibahagikan kepada dua syif, dan setiap operator dibayar gaji bulanan antara RM1,000 hingga RM1,500.
“Cara perhubungan antara operator dan pelanggan adalah menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ manakala pembayaran dan penerimaan wang dibuat melalui bank-bank yang telah ditetapkan oleh penganjur,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semakan turut dibuat terhadap akaun-akaun bank terbabit dan didapati ia dibuka atas nama beberapa individu.
​​​​​​​”Semakan secara rambang membabitkan akaun-akaun bank serta aplikasi perjudian pula mendapati kutipan keuntungan yang diperoleh penganjur dianggarkan berjumlah RM150,000,” katanya.
Dalam pada itu, Mior Farid berkata, polis turut merampas lima set komputer yang di dalamnya mengandungi aplikasi ‘WhatsApp’ web dan laman sesawang yang disyaki digunakan sebagai kawalan untuk perjudian online, serta 21 unit telefon bimbit pelbagai jenama.
“Turut dirampas, dua unit TM D-Link, dua unit TM Huawei, satu unit Wireless Router, empat buah meja dan satu anak kunci pintu premis.
“Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala kesemua suspek yang ditahan akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman, bagi membantu siasatan,” katanya. – BERNAMA