RASMI… Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Selangor.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, mesyuarat khas yang diadakan hari ini juga menetapkan 21 Julai ini sebagai hari penamaan calon PRK DUN N.49 Sungai Kandis.
Beliau berkata, sebanyak 51, 230 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang telah dikemaskini pada 2 Julai lalu.
“Beberapa penambahbaikan akan dilakukan dalam PRK kali ini termasuk waktu mengundi iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang selain penambahan saluran,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 2 Julai lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mat Suhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis setelah menewaskan calon daripada Barisan Nasional, PAS dan Parti Rakyat Malaysia dengan majoriti 12,480 undi.
Allahyarham Mat Suhaimi mula menjadi wakil rakyat sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008 selepas memenangi kerusi DUN Seri Muda dan seterusnya di kerusi yang sama pada PRU13. – Mynewshub.TV