NAMA Ellie Suriati Omar bukan dalam kalangan artis tempatan yang dianggap sebagai rapat atau ‘bodek’ kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika parti itu pernah berkuasa lebih 60 tahun.
Bahkan aktres filem dan drama berkenaan memang jarang sangat mengulas hal berkaitan politik tanah air atau dilihat hadir majlis rasmi yang ada kelibat pemimpin BN terutama UMNO.
Bagaimanapun namanya tiba-tiba menjadi percakapan kalangan orang politik selepas hadir menyatakan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Ramai yang mungkin sangka sebab perasaan simpati… maklumlah orang seni dikatakan jiwanya agak halus dan mudah kasihan, tapi Ellie menyatakan kehadirannya itu bukan kerana simpati semata-mata.
Menurut beliau, sokongan kepada Najib kerana rekod cemerlang tokoh tersebut sebagai perdana menteri yang keenam meskipun hanya mentadbir negara sekitar sembilan tahun sahaja.
Pelakon filem Spinning Gasing itu berkata, kecemerlangan Najib bukan sahaja terbukti pada peringkat kebangsaan, malah diiktiraf pelbagai badan antarabangsa terutama berkaitan ekonomi.
“Saya datang semalam memang untuk memberi sokongan kepada Najib kerana perkhidmatannya yang cemerlang sebagai perdana menteri untuk tempoh dua penggal.
“Kita sudah tengok buktinya ekonomi negara semakin kukuh dan antara yang terbaik di dunia. Adakah kita mahu menafikan kenyataan Bank Dunia kelmarin yang iktiraf negara ini?
“Kita tidak boleh menghukum seseorang itu selagi perbicaraan belum berlangsung tetapi persepsi bersalah itu sudah dimainkan dari awal lagi,” kata pengarah filem seram Penanggal tersebut.
Ellie turut bersama-sama denga kumpulan penyokong Najib yang membuat protes berikutan Peguam Negara, Tommy Thomas mengadakan sidang media dalam bahasa Inggeris.
Susulan kekecohan itu, pihak polis mengarahkan kumpulan tersebut agar meninggalkan kompleks mahkamah berkenaan manakala Tommy terpaksa ‘lari’ cari tempat sidang media yang lain.
Menafikan dirinya cuba mencetuskan provakasi, Ellie, 47, mengakui beliau antara orang yang meminta sidang media si penjawat awam itu hanya diadakan dalam bahasa kebangsaan.
“Sudah tentulah suara saya kuat, saya orang teater. Suara saya yang lantang menyebabkan saya ditahan. Polis datang, saya pun angkat tangan. Tidaklah saya lawan polis dan memulakan provokasi.
“Kalau tidak kerana kami sehati dan merasakan kepentingan bahasa kebangsaan, laungan kuat saya itu tentu tidak akan disambut pun oleh mana-mana orang.
“Saya akhirnya tidak ditahan. Ramai di luar itu menyokong agar saya tidak ditahan. Saya pun berterima kasih kepada polis,” kata Ellie dipetik portal AgendaDaily. – Mynewshub.tv