KANGAR – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) meminta kerajaan pusat menambah baik bantuan kepada veteran tentera.
Presidennya Ismail Abidin berkata PVATTBM akan memohon supaya bantuan sara hidup RM300 sebulan kepada bekas anggota tentera yang berkhidmat sebelum 1990 dinaikkan kepada RM800, sesuai dengan peningkatan kos sara hidup.
“Kami juga berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan bantuan perubatan, baik pulih dan bina baharu rumah, bantuan persekolahan, kuota haji, Bantuan Bakti Negara (BBN), sumbangan Rayuan Hari Pahlawan dan penganugerahan pingat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua PVATTBM cawangan Perlis, berkata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam satu majlis di Kelantan baru-baru ini memberi jaminan kerajaan PH akan menjaga kebajikan anggota dan veteran tentera, namun tidak menyatakannya secara jelas.
“Ramai bekas tentera sudah uzur perlukan bantuan perubatan, tidak mempunyai rumah sendiri dan tidak mampu mencari rezeki. Justeru, PVATTBM mahu kerajaan pusat menyatakan komitmen dalam isu ini,” katanya sambil menambah, bantuan juga boleh diberikan kepada balu anggota dan pendidikan anak.
Beliau turut meminta kerajaan menambah kuota haji daripada 200 kepada 400 jemaah serta menaikkan Bantuan Bakti Negara (BBN) dari RM1,200 kepada RM1,500 setahun dan pelantikan Anggota Dewan Negara juga dibuka kepada pemimpin veteran pangkat rendah.
Selain itu, Ismail berkata daripada hampir 200,000 veteran tidak berpencen di seluruh negara, cuma kira-kira 80,000 sahaja yang berdaftar sebagai anggota PVATTBM. – BERNAMA