KOTA BHARU – Seorang pelajar lelaki tingkatan satu sebuah sekolah di Tanah Merah terputus kaki kiri akibat motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu melanggar penghadang jalan raya dan bukannya kerana bermain ‘basikal lajak’ seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata remaja tersebut kini dalam keadaan koma sedang dirawat di Hospital Tanah Merah.
“Kita sedang menunggu saksi kejadian itu membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Aidilfitri Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di sini Jumaat malam.
Sejak semalam, beberapa gambar kemalangan merujuk kepada remaja itu tukar di laman sosial dengan menunjukkan mangsa parah dengan sebelah kakinya terputus hingga paras paha.
Laporan yang tular itu menyebut bahawa kejadian itu berlaku pada 4 petang apabila remaja berkenaan dikatakan melanggar penghadang besi ketika bermain basikal lajak di tepi jalan di Tanah Merah.
Menurut laporan itu lagi remaja terbabit kemudiannya dihantar ke hospital dalam keadaan parah oleh penduduk berdekatan menggunakan pacuan empat roda. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..