PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dijangka berangkat ke Sambutan Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan tahun ini di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1 di sini pada Selasa depan.
Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kenamaan lain termasuk pengurusan atasan pada peringkat kementerian dan jabatan akan hadir.
Hari Pahlawan disambut pada setiap 31 Julai sebagai memperingati perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran serta kedaulatan negara dan penganjuran Istiadat Perbarisan pada kali ini diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kenyataan itu berkata sambutan tersebut yang bermula pada 10.30 pagi akan dimulai dengan pelepasan 21 das tembakan meriam istiadat oleh pihak ATM dari Taman Putra Perdana berhampiran Hotel Pulse Grande di sini.
Sesi latihan Hari Pahlawan akan bermula pada 8 pagi Khamis ini manakala raptai penuh akan diadakan pada Ahad bermula 10.30 pagi.
“Sehubungan itu, pihak urusetia ingin memaklumkan mengenai penggunaan jalan, kawalan lalu lintas dan trafik di sekitar Presint 1, terutamanya di Kompleks E dan D serta pelaksanaan tembakan meriam istiadat oleh pihak ATM,” katanya.
Kenyataan itu menyaran warga penjawat awam yang berhasrat untuk ke Presint 1 khususnya yang perlu akses ke Kompleks E dan D untuk merancang perjalanan masing-masing bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan kelewatan ke pejabat.
Orang ramai diminta untuk mematuhi sebarang arahan lalu lintas oleh anggota polis yang bertugas serta tidak panik dengan bunyi tembakan meriam pada hari-hari berkenaan.
“Segala kesulitan amat dikesali dan kerjasama semua amat kami hargai,” katanya. – BERNAMA