BIDAS LAGI… Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin secara terbuka menyelar pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana dilihat ibarat cakap tidak serupa bikin.
Beliau malah dalam satu kenyataan menyindir anggota Kabinet kerajaan baharu PH itu dengan berkata: “Segala sembang semalam, hanya tinggal kenangan”
Pada beliau, sikap pimpinan PH itu mungkin disebabkan hati mereka kini berasa senang selepas menang secara memgejut dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Apabila menang, perasaan dah senang. Apabila dah rasa senang, dewan (sidang Parlimen) pun tak datang. Maka, segala pekikan sebelum ini, sudah tidak kedengaran.
“Segala sembang semalam, hanya tinggal kenangan. Segala perangai lawan dulu yang dihentam, hari ini dijadikan ikutan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook.
Baru-baru ini sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan seketika selepas waktu rehat pukul 2.30 petang kerana tidak cukup korum apabila ramai wakil PH tiada dalam Parlimen.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengarahkan sidang ditangguhkan selama 10 minit bagi memastikan korum cukup selepas Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) memetik Peraturan Mesyuarat berhubung perkara tersebut. – MYNEWSHUB.TV