KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki di Pengerang, Johor hari ini bagi membantu siasatan kes mayat seorang wanita dikerat enam yang ditemukan di dalam dua buah beg pakaian di tepi jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak pada awal bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata lelaki yang dipercayai suami kepada mangsa berusia 29 tahun itu ditahan pada 2 pagi tadi.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Polis yang sebelum ini mengesahkan wanita berkenaan sebagai warga Bangladesh dilaporkan memburu suami mangsa yang juga warga Bangladesh bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 5 Julai lepas, seorang gelandangan wanita yang tinggal berhampiran lokasi penemuan mayat itu membuat laporan polis di Balai Polis Komuniti Putra Chow Kit berhubung penemuan beg pakaian yang mencurigakan.
Susulan laporan itu, polis yang ke lokasi menemui anggota manusia yang dibungkus dengan dua lapisan plastik hitam dan satu lapisan kain cadar daripada dua beg pakaian berjenama “Power Polo” dan “USA Polo” pada jarak kira-kira 20.6 meter antara satu sama lain.
Polis turut menemui loket dengan tulisan “Allah” dalam huruf jawi dan seutas rantai leher pada mayat wanita itu. – BERNAMA