KUANTAN – Cadangan mengubah cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu di Pahang menghangatkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini.
Cadangan daripada Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur mendapat bantahan beberapa ADUN yang lain.
Chow Yu Hui (DAP-Tras) membantah cadangan itu kerana melihat tiada keperluan untuk menukar cuti Sabtu dan Ahad yang dilaksanakan masa kini.
“Pahang ada pelbagai kaum dan agama. Kita saling menghormati. Pertukaran cuti hujung minggu akan memberi kesan kepada pelbagai urusan dan Pahang masih bersaing dengan negeri lain dalam menarik kemasukan pelabur.
“Saya juga berpendapat syarikat swasta mahupun sektor awam telah menyediakan masa yang sewajarnya untuk pekerja Islam menunaikan kewajipan mereka pada hari Jumaat,” katanya.
Chow berkata demikian semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Sementara itu, Datuk Seri Adnan Yaakob (BN-Pelangai) yang mencelah perbahasan itu berkata meskipun beragama Islam dan perlu menunaikan solat Jumaat, beliau tidak melihat cuti Jumaat sebagai keperluan.
“Solat bukan terletak pada waktu cuti. Kalau kita lihat, waktu kelepasan (cuti) panjang sekali pun, masjid masih kosong. Saya setuju waktu solat berubah, ada masa awal dan ada masa lewat tapi waktu pejabat boleh diubah.
“Kalau boleh tak perlu nak cuti supaya kita tidak buang masa bekerja… Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri kata nak bekerja 36 jam kalau boleh dan kita ini buat perkara memang ikut masa,” katanya.
Pendapat itu dipersetujui Young Syefura Othman (DAP-Ketari) yang melihat pertukaran cuti itu dapat mengurangkan masa keluarga, jika seorang daripada pasangan bekerja dalan sektor swasta.
Merujuk kepada negeri Johor, yang tidak mewajibkan cuti hari Jumaat dan Sabtu kepada sektor swasta, Young Syefura berkata ada mendengar aduan rakyat yang terjejas dengan keputusan itu.
“Jika ibu atau bapa bekerja swasta, mereka hanya dapat meluangkan masa untuk bersama anak yang masih bersekolah pada hari Sabtu. Sama juga jika ada urusan kenduri.
“… hanya Sabtu sahaja yang ada untuk menjemput tetamu dari negeri lain. Saya setuju dengan Pelangai (Adnan) kerana umat Islam wajar menunaikan kewajipan tidak kira pada hari apa sekalipun,” katanya.
Perdebatan yang berlarutan sehingga hampir setengah jam menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akhirnya mencelah dan meminta persidangan diteruskan dengan isu lain.
Untuk menamatkan perdebatan cuti Jumaat, Wan Rosdy berkata beliau mengambil maklum pendapat yang diutarakan semua pihak dan akan mengkajinya.
Terdahulu Rosli membuat cadangan itu atas alasan majoriti penduduk Pahang beragama Islam dan cuti Jumaat membolehkan pekerja tidak tergesa-gesa untuk menukar pakaian, makan sebelum ke masjid.
Beliau juga berpendapat cuti Jumaat membawa kepada keharmonian kaum kerana tidak timbul soal pekerja beragama Islam kembali bekerja tidak mengikut waktu ditetapkan, jika solat Jumaat habis lewat.
“Cuti Jumaat telah dilaksanakan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor. Saya akui pada permulaannya akan ada masalah, namun boleh diselesaikan secara beransur-ansur,” katanya.
Cadangan itu dipersetujui Andansura Rabu (PAS-Beserah) yang melihat Jumaat sebagai hari paling tidak produktif kerana pekerja akan bersiap-siap untuk ke masjid bermula pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, cuti Jumaat itu, jika dilaksanakan di Pahang akan bersikap ‘semangat Pantai Timur’ kerana mengikut jejak langkah Kelantan dan Terengganu. – BERNAMA