KUALA LUMPUR – Polis percaya telah melumpuhkan satu sindiket Macau Scam susulan serbuannya ke atas pusat pengumpulan hasil kegiatan sindiket itu di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Maju di sini pada 24 Julai lalu.
Dalam serbuan kira-kira 6 petang itu, empat suspek warga Taiwan berusia 27 sehingga 35 tahun ditahan dan pihak polis turut menemui 56 keping kad ATM pelbagai bank, 15 telefon bimbit, sebuah modem mudah alih dan enam kad sim telefon bimbit.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata serbuan itu dilakukan susulan aduan seorang mangsa sindiket, mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam dan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan sebanyak RM16,000.
Katanya individu berkenaan seterusnya dipercayai menggunakan teknik ‘spoofing’ (perdayaan) untuk menipu mangsa dengan mendakwa menyambung panggilan mangsa kepada beberapa pihak iaitu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan mahkamah.
“Dalam panggilan-panggilan telefon itu, mangsa turut dituduh mempunyai kes penagihan dadah dan pengubahan wang haram sebelum meminta mangsa memberikan maklumat akaun bank untuk membantu membersihkan nama mangsa,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Mangsa yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat minyak dan gas kemudiannya mendapati wang berjumlah RM10,500 dalam akaunnya telah dipindahkan dan dia gagal menghubungi semula individu itu.
Mazlan berkata berdasarkan nombor telefon dan nombor akaun bank yang ditemui sewaktu serbuan, sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam 24 kes penipuan yang sedang disiasat di seluruh negara.
“Kami percaya lokasi yang diserbu hanya ‘collection centre’ dan terdapat pusat panggilan yang beroperasi di tempat lain. Jumlah kerugian bagi kes ini dianggarkan sebanyak RM887,164,” katanya.
Kesemua suspek masih direman dan kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.
Dalam pada itu, Mazlan berkata sebanyak 208 kes Macau Scam direkodkan di Kuala Lumpur bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu peningkatan 11 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Bagi 2018 sehingga Jun, jumlah kerugian yang dicatatkan ialah RM14 juta iaitu peningkatan sebanyak RM4.3 juta berbanding tempoh terbabit pada 2017,” katanya. – BERNAMA