BUTTERWORTH – Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau lebih dikenali sebagai Skuad 69 akan mengadakan majlis makan malam pada 3 Nov ini bagi mengumpulkan bekas, pesara dan keluarga anggota polis di utara Semenanjung,
Presidennya Datuk Abdul Aziz Bakar berkata selain merapatkan silaturahim bekas anggota polis di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara, majlis juga bertujuan mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan daripada persatuan.
“Tujuan utama penubuhan persatuan ini adalah menjaga kebajikan ahli-ahli dan balu-balu… walaupun seseorang itu bukan ahli (persatuan) tetapi jika dia bekas anggota polis yang memerlukan bantuan, kita akan bantu,” kata Abdul Aziz pada sidang media, di sini hari ini.
Katanya persatuan itu menyediakan pelbagai bantuan termasuk kewangan serta peralatan dan juga khairat kematian.
“Kita ada ahli jawatankuasa di setiap negeri yang bertanggungjawab menyampaikan khairat kematian kepada waris secepat mungkin. Kita mahu wang tersebut ada dalam tangan waris ketika proses menguruskan jenazah kerana kita tahu betapa susah nak uruskan semua sekiranya tiada wang.
Menurutnya pada masa ini terdapat 900 anggota mengalami kecacatan fizikal akibat bertempur dengan komunis pada 1969 yang dibantu.
Bagaimanapun katanya kekangan dana menyebabkan mereka terpaksa mengehadkan bantuan.
Sehubungan itu beliau mengalu-alukan mereka yang ingin membantu menambah dana persatuan itu dengan menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 8001140121. – BERNAMA