SYUKUR… Datuk Seri Najib Razak selesai membuat pembayaran sebahagian baki wang jaminan RM500,000 di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau tiba pada 11.43 pagi bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di Kompleks Mahkamah sebelum masuk ke dalam pejabat itu dan keluar lima minit kemudian selepas selesai menandatangani dokumen jaminan.
Sebelum beredar, Ahli Parlimen Pekan itu berkata kepada media bahawa beliau bersyukur dapat menerima bantuan daripada semua peringkat dari Ketua Bahagian sehingga ahli biasa UMNO di seluruh negara.
“Sebelum saya ke sini pun, ada UMNO Bahagian Tumpat datang untuk menyerahkan sumbangan. Ini menandakan bahawa ahli UMNO dan rakyat menunjukkan kasih sayang kepada pemimpin.
“Mudah-mudahan dengan doa restu semua, saya dan keluarga dapat melalui ujian besar ini, Insya-Allah dengan izin Allah. Ini adalah sumbangan yang bermakna dan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan.
“Ini kerana sumbangan ini terbit dari hati nurani yang ikhlas. Terima kasih sekali lagi, mudah-mudahan Allah melindungi kita dan keluarga saya,” kata bekas perdana menteri itu dalam nada syukur.
Terdahulu, dua anak Najib iaitu Norashman dan Nooryana Najwa serta menantunya Daniyar Kessikbayev tiba di pekarangan mahkamah itu lebih awal pada pukul 10.04 pagi.
Ketibaan Najib disambut lebih 80 penyokongnya yang melaungkan ‘Hidup Najib’ dan ‘Bebas Najib’. Peguam Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga kelihatan tiba pada 11.30 pagi.
Tabung Solidariti Najib Razak itu diserahkan oleh Pengerusi Sekretariat Solidariti Najib Razak, Datuk Mohd. Razlan Muhammad hasil kutipan rakyat Malaysia dan juga beberapa negara luar seperti Kanada, Singapura dan Indonesia.
Ia dilancarkan selepas tular berita akaun Najib dan semua ahli keluarganya termasuk yang hidap kanser dibekukan oleh pihak Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia secara tiba-tiba konon ada kaitan dengan skandal 1MDB.
Pada 4 Julai lalu, Najib, 65, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM42 juta membabitkan syarikat SRC International Sdn. Bhd.
Mahkamah Tinggi membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dan dibayar secara ansuran dengan separuh sudah dijelaskan pada Rabu minggu lalu. – myMetro Online