PETALING JAYA – Pengurus pasukan Bawah 23 Tahun, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui sukar untuk mendisiplinkan penyokong Indonesia.
Ia berikutan insiden keganasan penyokong negara jiran itu yang tidak berpuas hati ketika aksi final skuad Bawah 16 Tahun pada perlawanan 13 Julai lalu.
Jelas Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), keadaan penyokong-penyokong Indonesia sememangnya begitu dan sudah beberapa kali skuad negara berdepan dengan saat mencemaskan ketika bermain di laman mereka.
“Jika dilihat insiden baru-baru ini, ia nampak seperti buruk sangat.
“Tetapi kita mengambil pendekatan yang lebih baik, kerana hubungan presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) dan presiden PSSI (Persatuan Bolasepak Indonesia) kita selesaikan cara persahabatan.
“Kita tidak mahu sampai membuat bantahan kerana banyak lagi perlawanan akan berlangsung di Indonesia.
“Tetapi kita bertegas di masa akan datang, tahap keselamatan pemain mesti lebih diutamakan.
“Kita dah faham penyokong sana. Cuma kalau kita nak disiplinkan mereka, ia sangat susah kerana sama sahaja perangai mereka ketika perlawanan di antara kelab-kelab di sana,” ujarnya ketika di tanya mengenai tahap keselamatan pasukan menjelang Sukan Asia Ogos ini.
Tambah Mohd Yusoff, pihaknya akan berbincang lebih jelas mengenai tahap keselamatan agar tidak memudaratkan pemain negara. – Mstar