ISKANDAR PUTERI – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Suhaizan Kaiat hari ini mengesyorkan agar pertukaran perjawatan dan tempat kerja pegawai serta anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini dilaksanakan bagi membendung gejala rasuah.
Suhaizan berkata keadaan pegawai dan anggota yang berkhidmat di sesuatu PBT sejak memulakan perkhidmatan sehingga tamat dikhuatiri mendedahkan mereka kepada unsur rasuah.
“Dalam hal PBT ini, kita ada berbincang dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ada pegawai yang terlalu lama ‘duduk’ di sesuatu PBT, dia tidak ada pertukaran tempat kerja sejak mula bekerja sampailah tamat, kekal di tempat itu.
“Jadi, saya mencadangkan perubahan terhadap polisi ini, Pegawai ini boleh berpindah antara PBT lain di negeri ini, dengan itu, kemungkinan terhadap rasuah dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat SPRM Johor diketuai Pengarahnya Datuk Azmi Alias, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Suhaizan berkata pihaknya menjunjung tinggi terhadap integriti dan usaha SPRM membanteras rasuah sekali gus akan sentiasa bekerjasama dengan suruhanjaya dalam hal berkenaan.
Beliau berkata pihaknya juga bercadang memberi taklimat berkaitan rasuah kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor selepas Persidangan DUN Johor yang dijadual bulan depan, selesai.
Dari segi penambahbaikan prosedur kerja di peringkat jabatan di negeri ini, perbincangan turut diadakan supaya SPRM boleh membantu menjadi penasihat kepada jabatan bagi mengekang rasuah.
“Kita (kerajaan negeri) ada banyak jabatan, mungkin prosedur tidak berapa jelas di peringkat jabatan. Apabila jabatan ini membuat prosedur untuk membanteras rasuah, pihak SPRM beleh membantu untuk menambah baik prosedur sedia ada. Itu antara perbincangan hari ini,” katanya.
Menurut Suhaizan, pada ketika ini, terdapat ramai pihak termasuk rakyat mengambil berat berhubung isu-isu berkaitan integriti dan perkembangan ini sudah tentunya memberi kebaikan kepada rakyat sekali gus memudahkan urusan SPRM. – BERNAMA