KUALA LUMPUR – Istana Negara hari ini melancarkan kutipan Tabung Harapan Malaysia (THM) sebagai usaha membantu kerajaan mengurangkan hutang negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz berkata pelancaran THM peringkat Istana Negara itu juga merupakan manifestasi solidariti dan kebersamaan 650 warga istana terhadap titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V untuk menyumbang 10 peratus gaji dan emolumen Seri Paduka setiap bulan bagi membantu mengurangkan hutang negara.
“Tiada sebarang sasaran yang ditetapkan bagi kutipan tabung ini kerana yang penting adalah semangat warga Istana Negara untuk membantu negara yang tercinta ini. Kutipan tabung akan berlangsung selama dua minggu bermula hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran THM Peringkat Istana Negara, di Istana Negara, di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, inisiatif pelancaran tabung itu turut dilaksanakan atas semangat patriotisme warga Istana Negara bersempena dengan bulan kemerdekaan Ogos depan.
Terdahulu Wan Ahmad Dahlan mendahului 150 warga Istana Negara yang hadir pada majlis menyumbang kepada THM.
Pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan tabung bagi membolehkan rakyat Malaysia menyumbang ke arah mengurangkan hutang negara.
Pada 11 Jun lalu, Sultan Muhammad V memberi perkenan agar peruntukan gaji dan emolumen Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang tempoh pemerintahan Seri Paduka sehingga 2021.
Perkenan itu adalah kerana Seri Paduka amat prihatin tentang tahap hutang dan keadaan ekonomi negara serta mahu bersama-sama rakyat menunaikan tanggungjawab terhadap negara.
Setakat pukul 3 petang tadi, THM telah mengumpulkan sebanyak RM165,791,540.91. – BERNAMA