ALOR SETAR – Tadika Sinar Nur Kasih di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit di sini sentiasa menjadi contoh bagi jabatan dan agensi kerajaan lain dalam usaha menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja masing-masing.
Pengusahanya Minarni Mohd Hussin, 48, berkata banyak pihak telah mengadakan lawatan dan menyatakan minat untuk membuka tadika serupa, antaranya Majlis Bandaraya Alor Setar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) serta Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’ adzam Shah ( POLIMAS) di Jitra.
“Pada mulanya, kita buka di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Ampang Jajar untuk kakitangan di sana, seterusnya di beberapa jabatan dan agensi kerajaan lain di Kepala Batas dan Taman Jelai Jaya. Alhamdulillah setakat ini taska kami terus diberi kepercayaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
Beliau berkata kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak mereka di tempatnya yakin dengan perkhidmatan dan tahap keselamatan yang diberikan, termasuklah menititikberatkan aspek kesihatan agar bebas daripada penyakit berjangkit berbahaya.
Katanya sebaik dihantar, tubuh anak-anak jagaan akan diperiksa terlebih dahulu bagi mengesan sebarang lebam atau kecederaan lain dan hanya ibu bapa serta penjaga sahaja yang dibenarkan mengambil dan membawa anak-anak pulang.
Minarni berkata hingga hari ini, ramai ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke tadika tersebut kerana yurannya hanya RM70 sebulan dan selebihnya ditanggung oleh kerajaan menerusi pemberian subsidi.
“Bagi ibu yang menyusu badan pula mereka boleh datang menyusukan anak dengan cepat dan selamat kerana dekat dengan tempat kerja dan tidak perlu bimbang kerana kita sentiasa bersama anak-anak dalam persekitaran selesa dan berhawa dingin,” katanya.
Tadika yang mempunyai 40 bayi dan kanak-kanak berusia tiga bulan hingga empat tahun yang dikendalikan lapan pengasuh berpengalaman dan terlatih itu dilengkapi antaranya dengan bilik menyusu, bilik tidur, bilik aktiviti serta bilik makan, dewan dan tandas yang sesuai untuk kanak-kanak.
Maisarah Ahmad Riduan, 30, yang menghantar anaknya Muhammad Rafie Saridan, lima bulan, ke tadika itu berkata beliau cukup berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan dan ia boleh dijadikan contoh untuk panduan jabatan kerajaan lain membuka tadika seperti ini di premis mereka.
“…malah saya juga tidak berasa bimbang kerana pengasuh-pengasuhnya juga mesra dan penyayang kepada anak- anak kecil terutama kepada bayi kecil,” katanya.
Premis yang dibuka setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu ini mempunyai jadual ketat bermula dengan aktiviti senaman pagi, mandi tiga kali sehari, nyanyian, tidur, serta melaksanakan gerakan kreatif menulis dan mewarna sebelum dijemput ibu bapa masing-masing pada sebelah petang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini meminta semua jabatan dan agensi kerajaan menyediakan pusat jagaan kanak- kanak di tempat kerja bermula 1 Jan 2019 bagi mengelak kejadian penderaan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak berterusan. – BERNAMA