SEORANG wanita berusia 30 tahun didakwa ditembak mati oleh suaminya dan kari adalah puncanya!
Wanita berkenaan dikatakan enggan memasak kari telur seperti yang diminta oleh suaminya, dalam kejadian pada Khamis.
Kejadian berlaku di kampung Devdas di daerah Shahjahanpur, Uttar Pradesh.
Menurut polis, lelaki itu, yang dikenal pasti sebagai Navneet Shukla, menggunakan pistol berlesen bapanya untuk membunuh isterinya, Mangesh.
Semuanya berlaku apabila Shukla, yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk menyuruh isterinya masak kari telur.
Isterinya enggan dan kemudian pasangan itu bertengkar.
Dalam keadaan marah, Shukla keluar rumah dan kembali dengan pistol berpeluru sebelum menembak isterinya.
Dia kemudian melarikan diri dari tempat kejadian, lapor The Times of India.
Selepas itu penduduk tempatan bergegas ke rumah mereka dan mendapati Mangesh terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Dia dibawa ke sebuah hospital berdekatan dengan ambulans, namun sudah terlambat.
“Mangesh berkahwin dengan Shukla hampir 12 tahun yang lalu dan pasangan itu mempunyai tiga anak. Shukla adalah seorang petani dan mempunyai beberapa ekar tanah di kampung itu, dia tinggal di rumah yang sama dengan ibu bapanya.
“Anak-anaknya pergi ke sekolah dan ibu bapanya pergi berjumpa doktor pada masa kejadian,” kata pegawai balai polis Roza, Jasveer Singh, memetik The Times of India.
“Abang Mangesh telah membuat laporan ke atas Shukla,” katanya.
Pihak berkuasa berjaya menangkap Shukla pada Jumaat dan didakwa di bawah seksyen 302 (pembunuhan) Kanun Keseksaan India. Dia telah dihantar ke penjara daerah Shahjahanpur. – mStar Online