KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan meneliti cadangan AirAsia untuk memindahkan semula operasinya ke Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata penelitian akan dibuat dengan mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri Sabah sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Terminal 2 kini sedang beroperasi tapi hanya untuk perkhidmatan penerbangan am atau private jet sahaja. Sebarang perancangan untuk kembali ke Terminal 2 akan dibincangkan dan perlu diteliti secara teknikal,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Hassan (PH-Papar) mengenai cadangan AirAsia untuk memindahkan semula operasinya ke Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Menjawab mengenai perancangan AirAsia untuk memulakan penerbangan dari Kota Kinabalu ke India, China, Jepun, Korea dan Australia, Loke berkata kerajaan menyokong sebarang usaha syarikat penerbangan tambang murah itu untuk memulakan penerbangan ke mana sahaja destinasi asing dari Kota Kinabalu. – BERNAMA