GOPENG – Tiada lambakan durian dilaporkan di Perak walaupun berlaku pengeluaran hasil yang melimpah pada musim buah kali ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Basri Jasmo berkata pengeluaran buah yang banyak membolehkan durian musim ini dijual pada harga berpatutan yang mampu dibeli oleh orang ramai.
Selain itu, katanya Fama Perak turut mengambil pendekatan menghantar durian ke negeri yang kekurangan buah tersebut sebagai sebahagian daripada langkah pemasaran.
“Belum ada lambakan di mana-mana tempat, selain itu pemborong dan peraih juga menjual pada harga yang lumayan,” katanya dalam sidang media sempena Program Jualan Buah-buahan Bermusim @ RTC Perak di sini.
Program yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) itu berlangsung selama dua hari mulai hari ini dari pukul 11 pagi hingga 5 petang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri berkata Fama membawa 20 tan pelbagai jenis buah-buahan untuk dijual sepanjang dua hari program.
“Antaranya durian Batu Kurau, musang king dan durian klon selain rambutan, manggis dan cempedak,” katanya sambil memuji usaha tersebut dalam menggalakkan pemakanan buah-buahan tempatan.
Abdul Yunus turut memaklumkan Fama Fest 2018 akan berlangsung pada 26 hingga 30 Julai ini di RTC Gopeng dengan menyediakan lebih 200 gerai jualan antaranya buah-buahan, makanan tempatan selain produk tempatan. – BERNAMA