KOTA BHARU – Tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di sini, yang dipercayai terbabit dengan kejadian membaling mercun di sebuah sekolah Khamis lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Sebelum ini, ketiga-tiga suspek yang berumur 15 tahun itu direman selama tiga hari sejak Jumaat lepas bagi membantu siasatan selepas ditahan oleh sepasukan anggota polis beberapa jam selepas kejadian.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu dibawa ke bilik reman pukul 10 pagi oleh beberapa anggota polis untuk permohonan menyambung reman.
Bagaimanapun, permohonan sambung reman itu ditolak Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kota Bharu Rosli Ahmad.
Ketua Polis Kota Bharu ACP Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Khamis lepas, cermin tingkap bilik kaunseling sebuah sekolah menengah berhampiran Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini, rosak selepas dipercayai dilempar bahan letupan dibuat menggunakan mercun bola oleh pihak tidak bertanggungjawab. – BERNAMA