WAJAR… Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat bahawa projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura wajar untuk diteruskan dan bukannya dibatalkan.
Baginda malahan bertitah, ini kerana HSR merupakan satu projek prasarana pengangkutan awam rel moden yang sangat baik dan dijangka mampu memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara dalam jangka masa panjang.
“Saya fikir ini satu projek yang sangat positif yang perlu kita (kerajaan Malaysia) patut teruskan kerana bukan sahaja akan membantu Johor tetapi juga Singapura. Ini akan meningkatkan pertumbuhan kadar ekonomi di Johor sendiri.
“Mungkin dapat jana lebih banyak pelaburan asing. HSR ialah projek yang sangat positif yang perlu kita laksanakan dan teruskan, itu pendapat peribadi saya,” titah TMJ dalam temubual eksklusif dengan Channel NewsAsia semalam.
Wawancara penuh stesen penyiaran milik pemerintah Singapura itu dapat disaksikan penduduk Johor khasnya di bahagian selatan yang mampu terima tujuh saluran televisyen teresterial dipancarkan daripada republik tersebut.
Baginda bagaimanapun menambah, terpulang kepada pentadbiran baharu di di bawah Pakatan Harapan (PH) untuk buat keputusan muktamad kerana ia melibatkan urusan perjanjian antara dua buah kerajaan negara yang berjiran.
Dalam perkembangan terbaharu berhubung projek HSR berkenaan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan berunding semula dengan Singapura untuk penangguhan pelaksanaan projek berkenaan.
Ketua kerajaan dengan usia paling tua di dunia itu berkata, kerajaan PH dapati tidak dapat meneruskan projek mega tersebut kononnya hutang negara berada dalam keadaan agak tenat meskipun dinafikan oleh pihak Bank Dunia.
“Pada masa ini, setelah melihat kepada kedudukan kewangan negara, kami berpendapat tidak dapat meneruskan projek HSR itu,” dalih Mahathir kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur semalam. – Mynewshub.TV