BERTUAH sungguh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila menerima ucapan hari ulang tahun keputeraan daripada pemain bola sepak terkenal dunia, David Beckham semalam.
Bintang England tersebut menerusi akaun sosial Instagram miliknya menulis ucapan khas tersebut khusus buat baginda yang mesra disapa sebagai TMJ bersama dengan sekeping gambar bersamanya, lapor Astro Awani.
“Kepada sahabat saya, Tunku Mahkota Johor, selamat menyambut ulang tahun. Saya tidak sabar untuk bertemu anda di Singapura tidak lama lagi,” tulis Beckham yang pernah beraksi dengan kelab Manchester United.
Tunku Ismail menyambut hari keputeraan ke-34 tahun pada 30 Jun. Bekas kapten England itu pernah berkunjung ke Kuala Lumpur sempena program eksklusif AIA Vitality Wellness Festival sekitar September tahun lalu.
Semasa berkunjung ke ibu kota Malaysia, Beckham, yang berkahwin dengan artis bekas kumpulan Spice Girls, Victoria, sempat bertemu dengan TMJ dan mereka berdua memetik gambar kenangan bersama-sama.
Beckham, 43, turut menerima jersi istimewa skuad JDT No. 7 daripada Tunku Ismail, lapor Astro Awani. – Agensi/Mynewshub.tv