KUALA TERENGGANU – Keluarga Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli yang putus tangan paras bahu selepas baju dipakainya terbelit pada rim tayar motosikal dekat Kampung Binjai Bongkok, Marang, malam semalam, meminta orang ramai untuk berhenti menyebarkan gambar kemalangan membabitkan anak mereka di laman sosial.
Ibunya, Rohidayu Siup@Yusof, 29, berkata mereka sekeluarga amat terkilan apabila diberitahu oleh adiknya bahawa gambar anak sulungnya itu tular di laman sosial.
Katanya, mereka sekeluarga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menyebarkan gambar berkenaan kerana ia mengganggu emosi keluarganya.
Baca: Tangan Putus Baju Terbelit Tayar Motosikal
“Saya hanya mengetahui gambar tular di media sosial daripada adik dan ia amat mengganggu emosi kami sekeluarga kerana kami masih terkejut dengan kejadian ini.
“Justeru, saya meminta supaya gambar Khumaira dapat dipadamkan di media sosial dan janganlah menyebarkannya lagi,” katanya ketika ditemui NSTP di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, Khumaira bersama adik bongsunya, Aqil Zafran, 2, membonceng motosikal Honda Wave ditunggangi kakak saudaranya, Noor Aina Hanie Rezali, 18, untuk ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi mendapatkan cop pengesahan permohonan borang biasiswa.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, baju sejuk dipakai Khumaira tersangkut pada rim motosikal berkenaan menyebabkan tangannya putus di lokasi kejadian.
Pembedahan untuk menyambungkan tangannya itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, tidak berjaya berikutan keadaan anggota badan itu yang cedera teruk akibat kejadian. – BH ONLINE