WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat(AS), Donald Trump membalas komen perang Presiden Iran, Hassan Rouhani kelmarin dengan memberi amaran kepada beliau mengenai ‘akibat buruk yang hanya menimpa segelintir dalam sejarah peradaban manusia’.
Amaran itu dinyatakan ketika AS meningkatkan kempennya ke atas Iran.
“JANGAN PERNAH MENGANCAM AS LAGI ATAU KAMU AKAN MERASAI AKIBAT BURUK YANG DIALAMI OLEH HANYA SEGELINTIR DALAM SEJARAH PERADABAN MANUSIA,” kata Trump yang menulis menggunakan huruf besar di akaun Twitter rasminya. Kenyataan tersebut ditujukan kepada Rouhani.
Terdahulu, Presiden Iran itu memberi amaran kepada Trump untuk ‘tidak bermain dengan ekor singa’ dan menambah, konflik dengan Iran akan menjadi ‘ibu segala perang’.
Perang mulut tersebut mengimbau semula retorik perang antara Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sebelum kedua-dua pemimpin itu bertemu dalam satu sidang bersejarah di Singapura pada bulan lalu.
Trump menjadikan Iran sebagai sasaran kegemarannya sejak beliau mengambil pendirian untuk memulihkan hubungan dengan Korea Utara.
Kenyataan keras Presiden As itu dilontarkan selepas Setiausaha Negaranya, Mike Pompeo berkata bahawa Washington tidak gentar untuk melaksanakan sekatan terhadap barisan pemimpin tertinggi Iran.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam memuji pendirian tegas Trump ke atas Iran.
“Saya ingin memuji pendirian tegas Presiden Trump dan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo terhadap dasar agresif rejim Iran,” kata Netanyahu sebelum memulakan mesyuarat Kabinet.
Iran merupakan musuh utama Israel dan Netanyahu pula sudah lama mendesak kuasa-kuasa antarabangsa agar mengambil pendekatan lebih tegas ke atas Teheran. – AFP/Kosmo Online