WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dikecam kerana mengadakan sidang kemuncak bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Helsinki, menyatakan kelmarin bahawa beliau berharap dapat bertemu pemimpin Rusia itu sekali lagi dengan pertemuan kedua dirancang di Washington seawal musim luruh tahun ini.
Trump menjadi sasaran kritikan oleh kedua-dua parti pembangkang dan pemerintah kerana menyambut baik orang kuat Rusia itu semasa pertemuan di Helsinki selepas menolak keputusan siasatan agensi perisikannya sendiri bahawa Moscow campur tangan dalam pilihan raya Presiden AS pada 2016.
Reaksi negatif tersebut mendorong Trump bersikap defensif dengan Presiden AS itu dan White House mengeluarkan kenyataan bercanggah sejak beberapa hari lalu.
Namun, Trump menolak kritikan tersebut dan menyalahkan ‘media berita palsu’ kelmarin kerana gagal mengiktiraf pencapaiannya.
“Sidang kemuncak bersama Rusia merupakan satu kejayaan besar melainkan kepada musuh sebenar rakyat AS iaitu media berita palsu,” kata Trump di Twitter.
“Media berita palsu mahu melihat konfrontasi besar dengan Rusia, walaupun konfrontasi itu akan menyebabkan perang,” tambahnya.
Dalam satu temu bual bersama stesen televisyen CNBC, Trump berkata, berbaik dengan Presiden Rusia merupakan sesuatu yang positif dan bukan negatif.
“Saya tidak sabar untuk pertemuan kedua kami supaya kami dapat mula melaksanakan banyak perkara yang telah dibincangkan,” kata Trump lagi.
Sementara itu, jurucakap White House, Sarah Sanders pula berkata, pertemuan tersebut akan diadakan pada musim luruh tahun ini. – AFP/Kosmo Online